Kerajaan Negeri Sentiasa Terbuka Jalin Kerjasama Dengan Pusat – Shafie

Yang diPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin (tengah) bersama Shafie (dua kiri) dan tetamu khas lain mengibarkan bendera Malaysia dan Sabah semasa majlis Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di SICC, Kota Kinabalu hari ini. Gambar Ihsan JKM

KOTA KINABALU, 31 Ogos: Kerajaan negeri Sabah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam soal pembangunan negeri dan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu, beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Saya sudah maklumkan pada beliau  (Muhyiddin) bahawa Sabah akan mengamalkan (kerjasama) G-to-G (kerajaan dengan kerajaan), antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk kepentingan negara.

“Bukan seperti haluan politik. Saya nyatakan politik adalah berbeza dan ketepikan itu. Pendirian politik saya untuk sesetengah perkara dan prinsip berbeza. Tapi kita memberi kerjasama dalam membina negara. Itu penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini, hari ini.

Mohd Shafie mengulas kenyataan Muhyiddin pada Sabtu yang dilaporkan berkata adalah lebih baik sekiranya kerajaan Sabah sehaluan dengan kerajaan persekutuan pimpinannya bagi memberikan impak lebih besar dalam pelbagai aspek.

Muhyiddin  berkata demikian semasa lawatan kerja dua hari ke negeri itu yang berakhir semalam.

Sabah akan menghadapi Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lepas.

Pembubaran DUN itu diumumkan  Mohd Shafie beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli DUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan pimpinan Warisan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1119