
KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengumumkan penyertaan Parti Maju Sabah (SAPP) ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi PN itu berkata, keanggotaan SAPP itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan, pada 19 Ogos lalu.
“Saya mendoakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee dan seluruh ahli parti sihat sejahtera dan sentosa.
“Saya terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas minat SAPP untuk memohon menjadi anggota PN.
“Diharapkan keanggotaan SAPP dalam PN akan menjadi pemangkin kejayaan PN dalam melaksanakan segala tujuan dan matlamat parti untuk membela kebajikan rakyat,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Majlis Tertinggi SAPP mengesahkan parti itu diterima menganggotai PN dan berterima kasih kepada gabungan berkenaan.- BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost