PRK Slim: Bawa Kemenangan Ke Sabah

Annuar berpendapat kemenangan BN di DUN Slim menunjukkan penerimaan rakyat terhadap BN begitu kuat sekali. – Foto NSTP/ROSMAN SHAMSUDIN

TANJUNG MALIM: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim memang sudah dijangka direalisasikan dengan kemenangan bergaya.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata kemenangan ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap BN begitu kuat sekali dan ini seharusnya mendorong pemimpin melaksanakan tugas lebih baik.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jentera yang membantu terutama parti komponen BN, rakan BN, parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan Pengerusi Badan Perhubungan Perak, Datuk Saarani Mohamad selaku Pengarah PRK DUN Slim.

“Tahniah kepada calon BN yang menang dengan majoriti yang besar dan saya harap ini tidak melalaikan kita tetapi meningkatkan keazaman untuk terus menguatkan parti BN.

“Terima kasih juga kepada pengundi di Slim River yang memberi sokongan yang kuat kepada calon BN, saudara Mohd Zaidi Aziz,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan BN di FELDA Residence Trolak, dekat sini.

Turut hadir, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Mohd Zaidi.

Beliau berkata beliau mendoakan agar apa yang tunjukkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi pada MN dan BN serta Perikatan Nasional (PN) akan dibawa ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Di Sabah, kita ada cabaran lebih besar kerana kita ingin melihat Sabah semakin maju dan ingin lihat Sabah terbela serta kita tahu Sabah telah lama menjadi mangsa percaturan politik Parti WARISAN.

“Kita rasakan Sabah perlu ada satu lonjakan politik dan kita harap kemenangan DUN Slim ini akan turut mendorong semangat semua pengundi di Sabah untuk bersama-sama dengan kita, insya-Allah,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.- BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *