Menang Di Slim Bukan Bermakna Menang Mudah Di Sabah

Annuar Musa

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim semalam bukan alasan untuk berasa selesa dalam berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, jika pemimpin dan ahli parti bersikap yakin boleh menang, ia meletakkan mereka dalam zon bahaya.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) BN menang besar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, jadi ramai yang kata kita akan menang dengan mudah.

“Pada PRU-14 lalu kita tahu apa yang berlaku. Saya nak ingatkan diri saya dan pemimpin parti jangan selesa. Menang semalam bukan bermakna menang mudah untuk Sabah.

“Selepas ini saya akan hubungi semua jentera parti dari 2 petang hingga malam ini untuk buat persiapan pelan untuk PRN Sabah. Tidak perlu ambil mudah. Untuk PRU akan datang akan juga berlainan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemenangan besar di Slim semalam.

Beliau berkata, semua pemimpin Umno perlu belajar dari PRU-14 lalu dan tidak lalai dengan kemenangan yang diperolehi walaupun pihaknya berterima kasih dan bersyukur dengan kemenangan majoriti besar di Slim.

Katanya, pemimpin parti tidak boleh mengambil mudah, mendengar degup nadi akar umbi selain mengetahui apa yang rakyat mahukan apabila kerajaan mengumumkan PRU kelak.

“Jangan asyik seronok sendiri dengan benda yang sudah berlaku pada masa lalu. BN, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu tahu akan itu.

“Kita sudah bekerja keras, setiap PRU adalah penting dan kita kena buang sikap menganggap perkara akan jadi mudah. Yang bulat takkan datang bergolek yang pipih takkan datang melayang,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, biarpun pemimpin dalam PN bersetuju perikatan itu memerlukan mandat yang kukuh dan kuat daripada rakyat untuk mentadbir negara, perkara yang perlu diberikan keutamaan ialah menyelamatkan negara daripada kegagalan 22 bulan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, rakyat terus menerus memberi isyarat bahawa mereka tidak gembira dengan PH dan ia terus menerus kalah dalam beberapa PRK sebelum akhirnya PN merasakan ada keperluan untuk menyelamatkan negara, dan menubuhkan kerajaan yang ada ketika ini.

Justeru, katanya, keutamaan ketika ini ialah untuk menyelamatkan rakyat dan kerajaan terutama dalam keadaan ketidakstabilan ekonomi serta penularan wabak Covid-19.

“Sudah tentu kita bersetuju kerajaan ini memerlukan mandat yang kuat dan mandat baharu secepat mungkin. Namun, ia tidak bermakna kita harus menggugat kestabilan kerajaan dengan mengadakan PRU. Bangun dari tidur terus nak buat PRU. Kita kena bertindak secara bijaksana dan stabilkan negara pulihkan ekonomi.

“Kita memandang serius untuk mengadakan pilihan raya. Perdana Menteri perlu mengadakan perundingan dan beliau sudah bertemu dengan ramai pemimpin tetapi kami tidak membuat sebarang keputusan lagi.

“Biarlah pemimpin parti membuat keputusan apabila tiba masa yang sesuai. Perkara yang kita beri keutamaan sekarang adalah soal nasib rakyat termasuk masalah kemiskinan bandar terutama dengan penularan Covid-19,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1476