Muhyiddin Lancar Perikatan Nasional Di Kota Kinabalu Sabtu Ini?

KUALA LUMPUR: Terdapat desas desus bahawa Perikatan Nasional (PN) akan dilancar secara rasmi di Kota Kinabalu, Sabah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu ini.

Sabah dipilih sebagai simbolik berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PN yang kini didakwa mempunyai enam parti gabungan dengan masing-masing akan menggunakan lambang parti mereka pada pilihan raya tersebut.

Malah media Singapura, Straits Times yang memetik sumber melaporkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pelancaran itu juga dilakukan sejurus selepas penyertaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama kumpulannya pada minggu lepas.

“Ini adalah langkah terakhir dalam rancangan Muhyiddin melancarkan gabungan tersebut.

“Bagi UMNO pula, terpulang kepada parti itu hendak menggunakan logo mereka atau PN,” kata sumber tersebut.

Straits Times juga melaporkan PBS dan PBRS akan menyertai gabungan itu yang mahu mengambil alih kerajaan Sabah daripada parti Warisan.

Sumber yang tidak dinamakan itu memberitahu, rundingan yang dilakukan  setakat ini bersetuju 113 kerusi di kawasan majoriti Melayu milik PN akan ditandingi penyandang masing-masing namun pertukaran kerusi boleh dibincangkan.

“UMNO boleh tuntut kerusi yang dimenangi kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi apabila Bersatu menjadi parti berbilang kaum jadinya UMNO tidak boleh menuntut kerusi campuran kerana tradisinya menyerahkan kepada sekutu dalam BN,” kata sumber itu.

Straits Times turut melaporkan Ahli Parlimen yang menyokong Azmin Ali ketika ini sedang menggiatkan usaha menarik lebih ramai wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menyertai PN.

Ini kerana Bersatu akan membuka pintu kepada bukan Bumiputera untuk menjadi ahli bersekutu, malah Muhyiddin sendiri mendedahkan parti itu akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan ahli bukan Bumiputera memegang jawatan parti. – MalaysiaGazette

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3365