PBT Pantau Unit Rumah PPR Elak Disewa Pihak Ketiga

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengemukakan laporan penuh pemantauan unit Program Perumahan Rakyat (PPR) berpenghuni setiap tiga bulan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) bagi mengelak penyewa menyewakan unit kepada pihak ketiga.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, jika terbukti penyewa telah menyewakan unit rumah PPR maka penguatkuasaan akan dilakukan dan tindakan penamatan kontrak penyewaan akan dilaksanakan kerana melanggar syarat-syarat PPR.

Zuraida berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan berhubung berapa orang penyewa yang dikenal pasti menyewakan PPR kepda pihak lain demi keuntungan dan adakah pihak berkuasa pernah membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan tiada rumah PPR disalah guna.

Zuraida berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mempunyai maklumat tepat mengenai statistik tindakan atau amaran yang telah diambil kepada penyewa berkenaan memandangkan pengurusan PPR Sabah adalah dibawah bidang kuasa pihak KKTP atau PBT.

Dalam pada itu, Zuraida turut memaklumkan, sehingga 30 Jun ini, sebanyak 31 projek PPR disewa di Sabah telah siap merangkumi 21,699 unit rumah dan telah memberi manfaat kepada 86,736 penduduk di negeri Sabah.

“Rumah PPR yang telah siap di Sabah akan diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah untuk pengurusan dan pengisian,” katanya.

Sementara itu bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berhubung rasional pemilikan rumah oleh warga asing diturunkan daripada RM1 juta kepada RM600,000, Zuraida berkata ia boleh mengurangkan lambakan unit rumah sedia ada serta mengalakkan pertumbuhan ekonomi keseluruhannya.

“Berdasarkan data Pusat Maklumat Tanah Negara (NAPIC), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi suku pertama 2020 terdapat 3,876 unit rumah yang berharga RM1 juta dan ke atas dengan nilai RM7.9 bilion tidak terjual di negara ini.

“Penetapan harga penjualan hartanah mewah kepada warga asing adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Garis Panduan Perolehan Hartanah yang berkuatkuasa mulai 1 Mac 2014, dengan merujuk kepada hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas,” katanya.

Menurut Zuraida, warga asing hanya dibenarkan untuk membeli hartanah bernilai RM1 juta dan ke atas sahaja.

“Bagaimanapun, melalui Belanjawan 2020 yang telah diumumkan oleh mantan Menteri Kewangan, telah menurunkan had milikan warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 tetapi bagi kondominium dan pangsapuri sahaja dan tidak termasuk lain-lain kategori perumahan.

“Meskipun setiap kerajaan negeri turut mempunyai dasar masing-masing pemilikan hartanah oleh warga asing dan tidak tertakluk kepada pengumuman Belanjawan 2020 itu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

516