Bekas Ketua Hakim Negara Bertanding PRN Atas Tiket WARISAN?

Richard Malanjum

KIMANIS: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak menafi atau mengesahkan spekulasi bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, yang dikatakan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah atas tiket Warisan.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, belum ada sebarang pengumuman atau permohonan daripada Richard bagi mengisi borang keahlian untuk menyertai parti berkenaan.

DATUK Seri Mohd Shafie Apdal beramah mesra bersama jentera PRN Warisan Kimanis dalam majlis Pelancaran Jentera PRN Warisan Kimanis bertempat di Dewan Masyarakat Bongawan. FOTO Rafiqah Dahali
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beramah mesra bersama jentera PRN Warisan Kimanis dalam majlis Pelancaran Jentera PRN Warisan Kimanis bertempat di Dewan Masyarakat Bongawan. Gambar Rafiqah Dahali

“Kita tunggu bila sampai waktunya nanti. Setakat ini belum ada sebarang pengumuman, borang pun belum diisi,” katanya ringkas.

Pada masa sama, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan proses pengagihan kerusi bersama parti sekutu.

“Apa yang penting, apabila tiba PRN, saya mengingatkan dan menekankan kepada parti mengenai pilihan calon.

“Kalau calon itu datang daripada parti kita, sokong. Mana-mana calon yang bukan datang daripada parti kita tetapi adalah gabungan kita, undi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Pelancaran Jentera PRN Warisan Kimanis bertempat di Dewan Masyarakat Bongawan di sini, pagi tadi.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Dr Daud Yusof, ADUN Pantai Manis Datuk Aidi Moktar, ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang dan Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Baru-baru ini, senarai nama calon yang bakal bertanding di setiap DUN tular di media sosial.

Nama Richard tersenarai untuk bertanding di DUN Bingkor atas tiket Warisan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *