Shafie Minta Wisma Putra Beri Amaran Keras Kepada Kedutaan Filipina

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata, Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas berhubung perkembangan yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Sabah serta provokasi yang tidak sepatutnya oleh Filipina.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meminta Wisma Putra memanggil duta Filipina di Kuala Lumpur untuk memberikan amaran keras kepada kerajaan Filipina berhubung pelanggaran kedaulatan negeri itu.

Ketua Menteri, Shafie Apdal berkata, rakyat Sabah dijanjikan keselamatan dan perlindungan ketika penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Oleh sebab itu Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas berhubung perkembangan yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Sabah serta provokasi yang tidak sepatutnya.

“Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafie berkata demikian susulan laporan hari ini berhubung keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Beliau berkata, Wisma Putra tidak boleh berlembut selepas pihak berkuasa Filipina mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal akhir-akhir ini.

“Sabah adalah negeri merdeka di dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diterangkan dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Berikutan itu, walau apa cara sekalipun, Filipina tidak mempunyai asas, sejarah atau lunas perundangan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah,” katanya.

“Kerajaan Sabah juga kesal apabila Filipina melakukan tindakan yang bertentangan dengan semangat Asean dan prinsip asas saling menghormati kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah masing-masing dan identiti negara bagi setiap anggota,” katanya lagi. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3134