Jambatan Runtuh Sim-Sim Dibaik Pulih

SANDAKAN: Kerja pembaikan jambatan menghubungkan rumah atas air yang hampir runtuh di Jambatan 15, Kampung Sim-Sim, di sini, sedang dilaksanakan.

Kerja pembaikan itu dibiayai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat yang juga pemangku Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon.

Frankie berkata, beliau berharap pembaikan itu bukan saja dapat membantu penduduk, malahan menjamin keselamatan penduduk terutama kanak-kanak yang menggunakan laluan itu.

Katanya, struktur jambatan berkenaan yang hampir runtuh adalah satu-satunya laluan keluar dan masuk penduduk kampung air terbabit untuk ke rumah mereka.

“Jika jambatan ini runtuh, sudah tentu ia akan menghalang pergerakan mereka.

“Justeru, kita harap bantuan ini memberi kelegaan kepada penduduk,” katanya ketika meninjau kerja pembaikan jambatan berkenaan, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.

Frankie turut meninjau kerja pemasangan lampu di kawasan letak kereta penduduk di Kampung terbabit.

Beliau berkata, 90 peratus kawasan letak kereta sudah dipasang lampu, sekali gus memudahkan penduduk pada waktu malam dan mengurangkan risiko kecurian.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

943