Esok Hari Penting Buat Sabah

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tumpuan esok. Tumpuan masyarakat dijangka terarah ke negeri itu berikutan dua peristiwa penting akan berlangsung, kedua-duanya berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Pada sebelah pagi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pada sebelah petang pula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh PRN.

Di Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim akan membuat keputusan berhubung permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan DUN.

Shim menetapkan 17 Ogos untuk membuat keputusan itu selepas isu dibawa ke mahkamah pada 7 Ogos lalu oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN yang lain.

Pada 29 Julai, semua 33 ADUN berkenaan termasuk Musa mendakwa mereka membentuk majoriti di DUN dan mahu Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan ADUN Senallang, mendahului langkah Musa dengan menasihati Juhar agar membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli iaitu 60 dipilih dan lima dilantik.

Dalam permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, Musa dan ADUN yang menyokongnya meminta perintah mahkamah untuk membatalkan nasihat Mohd Shafie kepada Juhar agar membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN dan membatalkan warta pembubaran kerajaan negeri.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, Mohd Shafie sebagai yang kedua, SPR yang ketiga, dan kerajaan Sabah sebagai yang keempat.

Tindakan mahkamah diambil selepas Musa dan 32 ADUN lagi gagal mengadakan pertemuan dengan Juhar.

Konvoi kenderaan yang membawa rombongan ADUN terbabit ke Istana Negeri mendapati laluan ke istana ditutup oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli, berkata pada 6 Ogos bahawa istana tidak pernah menerima permintaan rasmi atau tidak rasmi daripada Musa untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar.

Beliau juga berkata istana tidak pernah mengarahkan pihak polis menghalang rombongan Musa, sebaliknya sekatan jalan raya dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini susulan pembubaran DUN.

Istana juga menyangkal dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengatakan Juhar menyalahgunakan kuasa dan telah menerima imbuhan untuk membubarkan DUN.

Berikutan pembubaran DUN itu, SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan PRN.

Mesyuarat khas SPR esok dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang di The Magellan Sutera Resort di sini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, akan mempengerusikan mesyuarat dan mengadakan sidang media pada 4 petang.

Beliau dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting urusan pilihan raya seperti writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan serta persiapan lain, dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

SPR berpengalaman dalam menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini di Pahang pada 4 Julai lepas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir 31 Ogos ini.

Suruhanjaya itu juga dalam proses melaksanakan PRK Slim di Perak yang hari pengundiannya pada 29 Ogos.

PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya terdahulu selepas Dewan Rakyat meluluskan syor SPR agar kerusi DUN Sabah ditambah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15586