Bungkusan Diterima Pos Sabah Meningkat Mendadak Sejak Jan Hingga Julai 2020

KOTA KINABALU, 16 Ogos: Jumlah bungkusan yang dihantar ke Sabah melalui Pos Malaysia dari Januari hingga Julai lepas meningkat sebanyak 41 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Mohamed Rozaidi Md Sharif berkata peningkatan itu disebabkan trend orang ramai beralih kepada pembelian atas talian susulan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19.

“Semenjak PKP dilaksanakan, Pos Malaysia Sabah telah menerima 65,000 sehingga 80,000 bungkusan sehari menyebabkan kita mengalami masalah kelewatan penghantaran kerana kita hanya mampu menghantar 20,000 bungkusan sehari.

“Oleh itu, Pos Malaysia telah berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengambil beberapa inisiatif termasuk mewujudkan Pusat Pos Laju (PPL) baharu di Lok Kawi yang kini mampu memproses atau menghantar 40,000 hingga 60,000 bungkusan sehari dengan lebih cepat dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Perasmian PPL Lok Kawi, dekat sini hari ini yang dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Dr Fadhullah Suhaimi.

Mengulas lanjut, Mohamed Rozaidi berkata PPL Lok Kawi adalah pusat pengedaran kedua diwujudkan di Sabah dengan yang pertama terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“Menyedari peningkatan pembelian dalam talian atau e-dagang, Pos Malaysia terus berusaha dengan lebih proaktif untuk meningkatkan kecekapan serta keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif terbaharu untuk mempercepatkan penghantaran bungkusan ke Sabah, Pos Malaysia telah melancarkan penerbangan kargo terus dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah, baru-baru ini yang dikendalikan oleh Pos Asia Cargo Express Sdn Bhd (Pos ACE), sebuah anak syarikat Kumpulan Pos Malaysia.

“Pos ACE mengendalikan enam penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Tawau dalam seminggu menggunakan pesawat kargo Boeing 737-400 yang berupaya memuatkan sebanyak 18 tan kargo bagi setiap penerbangan.

“Melalui penerbangan terus ke Tawau oleh Pos ACE, Pos Malaysia mampu meningkatkan kapasiti kargo udara sebanyak kira-kira 30 peratus dan pada masa sama, membuka lebih peluang perniagaan dan industri kecil di Tawau serta meningkatkan taraf ekonomi tempatan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *