Adakah Kita Mahu Sabah Ditadbir Oleh Pemimpin Tak Bertanggungjawab? – Anifah

Anifah Aman

KOTA KINABALU: Sejak kebelakangan ini, banyak negara luar cuba mengambil kesempatan membuat tuntutan terhadap Sabah sehingga keadaan hampir kucar-kacir kerana kerajaan negeri Warisan buat endah tidak endah sahaja.

Malah mantan Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanya berdiam diri apabila Filipina membuat tuntutan baru-baru ini dan lebih menyedihkan apabila membiarkan pemimpin junior seperti Datuk VK Liew membuat kenyataan.

Begitu luahan Presiden Parti Cinta Sabah (PCM), Datuk Seri Anifah ketika ditemui sambil menyatakan dirinya cukup bingung apabila Mohd Shafie masih lagi bercita-cita untuk terus memimpin negeri ini melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kamu tahu, kita ada banyak isu tetapi Shafie jenis pemimpin lebih suka serahkan isu-isu besar apatah lagi menyentuh kedaulatan negeri kepada pihak lain tetapi masih ada hati untuk terus memimpin dan kononnya mahu perjuangkan nasib rakyat di sini.

“Tindak tanduknya pula tidak mencerminkan kesungguhan beliau seperti di pentas-pentas politik. Takut sungguh untuk berhadapan dengan kuasa asing, lebih rela tunduk dan sekadar berharap kepada persekutuan untuk mempertahankan negeri ini? Adakah kita mahu Sabah dipimpin oleh pemimpin penakut? Biar yang lain cuba jajah kita.

“Apa yang Shafie takut sangat?  Kedaulatan Sabah tidak boleh bergantung kepada pemimpin yang lemah dan tiada pengalaman seperti Shafie. Dalam dua tahun ini, apakah sebenarnya pencapaian ketua menteri ini sehingga isu ini sendiri sembunyikan diri?” soalnya kepada MalaysiaGazette.

Kata Anifah, beliau sendiri telah melakukan apa sahaja untuk menghentikan semua jenis tuntutan serta ancaman seperti itu semasa menjadi Menteri Luar.

“Dalam hal hubungan dua-hala antarabangsa, kita mesti berhati-hati untuk elakkan tercetusnya persengketan antara Malaysia dengan mana-mana negara. Perkara seperti ini sangat rumit tetapi bagi saya, pengalaman sembilan tahun sangat cukup untuk melenyapkan isu ini sebelum diperbesarkan.

“Ini memerlukan kemahiran diplomasi yang cukup delicate. Perlu kemahiran cukup tinggi, adakah Shafie ini layak atau sekadar retorik sahaja?

“Jangan hanya mahu jadi ketua menteri, mahu teraju negeri Sabah tapi apabila ada krisis, anda hilang,” ujarnya.

Sambung Anifah lagi, beliau menyertai PCS yang merupakan parti tempatan kerana menyedari rakyat di negeri masih lagi terbelenggu dengan kemiskinan dan keperitan hidup walhal ketika Warisan meminta undi, pelbagai retorik ditaburkan.

“Saya bagi contoh bantuan pandemik Covid-19 yang pastinya begitu merunsingkan, cukup perit sekali kehidupan, mantan kerajaan negeri kata hendak salurkan bantuan kemudian umum sudah diberikan.

“Cerita sebenarnya ramai juga tercicir atau mungkin juga sengaja dicicirkan. Jika tidak betul fakta ini, suruh mereka bercakap dan betulkan kenyataan saya. Dari kos bantuan makanan yang sepatutnya RRM100 itu juga telah dikurangkan dengan pelbagai alasan.

“Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi sejak Shafie ambil alih? Menjunam teruk tapi beliau beri pelbagai jenis alasan termasuk Covid-19 serta kerajaan terdahulu. Tuding jari sampai bila?

“Bagaimana pula pembangunan di Sabah ketika Shafie? Bagaimana pula kadar pengangguran yang dikatakan teruk ketika ini berbanding tempoh 20 tahun sebelum ini, semua itu salah siapa? Adakah Shafie akan terus salahkan semua kecuali dirinya?

“Tahun pertama jadi ketua menteri, dakwa beliau dirinya asyik turun naik mahkamah. Tahun kedua pula Covid-19. Jadinya bila masa Shafie akan benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Menteri? Jika beri peluang, apa lagi alasan akan di berikan olehnya,” tegas beliau.

Kata Anifah lagi, ketika semua ini Mohd Shafie juga boleh bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bersedia untuk PRN semata-mata tidak mahu mengaku kelemahan diri seolah-olah politik jauh lebih penting berbanding rakyat.

“Saya mohon kepada semua rakyat Sabah supaya peka dalam memilih Ketua Menteri. Shafie tidak ada apa-apa yang gah jika hendak bercakap tentang mantan Ketua Menteri ini. Bila sebenarnya Shafie cuba perjuangkan isu-isu Sabah selama ini?

“Hanya alasan demi alasan sahaja, adakah layak untuk pimpin negeri ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1596