Pembubaran DUN Sabah Sudah Diwarta – Shafie

BELURAN: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan mengulas lanjut dakwaan yang mengatakan surat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai berlaku kesilapan.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, perkara paling jelas dalam isu berkenaan ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sudah menanda tangani surat pembubaran DUN.

“Saya tidak mahu ulas, yang pasti Tuan Yang Terutama (TYT) sudah tandatangan dan yang pasti perkara ini sudah diwartakan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Tanah, di Beluran, hari ini.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee sebelum ini mendakwa terdapat kesilapan dalam surat memohon pembubaran DUN Sabah.

Beliau mendakwa, surat pembubaran DUN itu yang merujuk Artikel 10(1)(2)(b) di dalam Perlembagaan negeri sebagai silap kerana Artikel sebenar menyatakan Yang di-Pertua Negeri mempunyai pertimbangan untuk tidak membubarkan DUN.

Pada 30 Julai lalu, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang membuat keputusan membubarkan DUN Sabah sekali gus memerlukan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1344