Geran Tanah Hak Rakyat, Kenapa Perlu Disiasat?

BELURAN: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyelar desakan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang meminta siasatan dibuat terhadap langkah kerajaan beliau menyerahkan geran tanah individu kepada rakyat.

Tegas Ketua Menteri, geran tanah adalah hak rakyat Sabah yang dinafikan kerajaan Barisan Basional (BN) selama berpuluh tahun, justeru dasar pemerintahan Parti Warisan Sabah (Warisan) sejak 2018 ialah memastikan rakyat mendapat tanah.

Pada masa sama, beliau turut menyoal kenapa PBS tiba-tiba sahaja bising dengan pemberian geran itu yang telah dimulakan sejak awal 2019 sedangkan ketika sebelum ini Tan Sri Musa Aman hanya memberikan geran komunal setiap kali musim pilihan raya tiba, PBS hanya berdiam diri.

“Kalau mereka boleh menyerahkan geran tanah, kenapa kita tidak boleh menyerahkannya.

“Ini tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah daerah Beluran, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan siasatan terhadap Shafie berikutan penyerahan geran tanah yang dilakukan kerajaan Warisan.

Mohd. Shafie berkata, semasa kempen pilihan raya umum 2018, BN secara terang-terangan memberikan geran kepada rakyat, namun apa yang dilakukan oleh Warisan sekarang sebenarnya telah bermula sejak awal tahun 2019.

Mohd. Shafie berkata, rakyat kini tidak perlu menunggu kama untuk mendapat geran, malah lebih banyak geran telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sejak Warisan memerintah yang akan diserahkan tidak pama lagi.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai rancangan membina lebih banyak universiti di Sabah, beliau berkata, sudah sampai masanya pembinaan lebih banyak institusi pendidikan kerana sesuai dengan keperluan dan populasi yang semakin meningkat.

Sehubungan itu katanya, melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi, beliau mengalakkan kerjasama universiti luar negara dengan universiti tempatan untuk melahirkan lebih ramai graduan tempatan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *