Hajiji Ingatkan Shafie, Henti Bohongi Rakyat

TUARAN: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal diingatkan agar tidak terus membohongi rakyat Sabah dengan mendakwa geran-geran tanah yang diserahkannya dalam siri jelajah ke daerah-daerah merupakan inisiatif Kerajaan Warisan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Shafie bercakap bohong dan tindakannya amat jelas dan nyata bertujuan untuk memancing undi dan sokongan rakyat.

Beliau mendakwa, geran-geran tanah yang diserahkan oleh Shafie itu merupakan geran yang telah siap lebih awal menerusi Program Pengukuran Hak Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang diilhamkan oleh kerajaan lalu.
Katanya, PANTAS merupakan usaha murni dan inisiatif Kerajaan lalu untuk membantu mempercepatkan pengeluaran geran-geran tanah adat kepada rakyat dengan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, setelah mengalami kelewatan pengukuran sejak sekian lama.

Menurutnya, pendekatan itu untuk memastikan pengeluaran geran berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini.
“Program PANTAS adalah inisiatif kerajaan negeri semasa diterajui oleh kerajaan lalu dengan kerjasama kerajaan Pusat bagi menyelesaikan isu NCR yang membelenggu rakyat Pribumi Sabah sejak sekian lama.

“Justeru, geran-geran tanah adat yang sudah disiapkan menerusi Program PANTAS dan belum sempat diserahkan semasa Kerajaan lalu, yang kini telah diserahkan oleh Shafie, tetapi dia mendakwa ianya adalah inisiatif Kerajaan Warisan?
“Ini merupakan satu pembohongan. Shafie perlu berhenti daripada menggunakan geran tanah adat untuk meraikan sokongan rakyat berikutan populariti dan sokongan rakyat terhadap Warisan semakin merosot ’, katanya.

Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Persidangan ARMADA BERSATU Bahagian Tuaran di dewan Linangkit Cultural Village, Kampung Selupoh, hari ini.

Hajiji yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, rakyat Sabah tidak buta, mereka tahu PANTAS yang dilaksanakan sejak tahun 2011 berupakan inisiatif kerajaan terdahulu.

“Shafie yang kini sibuk menyerahkan geran-geran tanah tersebut setelah membubarkan DUN, jelas beliau begitu terdesak melakukan semua itu kerana semakin terhakisnya keyakinan dan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Warisan yang dipimpinnya.

“Jika tidak terdesak dan mahu memancing sokongan dan undi rakyat, kenapa perlu tergesa-gesa dan rancak membuat penyerahan geran-geran tanah tersebut menerusi siri jelajah khas ke daerah-daerah seluruh Sabah?
“Kenapa tidak giat membuat majlis penyerahan geran itu sebelum DUN dibubarkan? Kenapa baru sekarang rancak dan sibuk membuat penyerahan? “, soal Hajiji.

Mantan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Datuk Safar Untong pada awal tahun 2018 dipetik sebagai berkata (PANTAS) yang dilaksanakan sejak 2011 berjaya menyelesaikan kerja pengukuran tanah hak adat anak negeri (NCR) seluas 36,137 hektar sehingga akhir tahun 2017.

Ia membabitkan 21,378 lot tanah di 92 kampung di 16 daerah seluruh negeri, dengan kebanyakannya di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Beaufort, Tuaran, Ranau, Kota Marudu, Sipitang dan Semporna.

Daerah lain ialah Beluran, Kinabatangan, Tongod, Nabawan, Papar, Kudat, Sandakan, Keningau, Lahad Datu dan Tawau dengan kerja pengukuran dilaksanakan 80 pasukan juru ukur yang dilantik JTU.

Safar Untong berkata, program itu dibiayai menerusi peruntukan khas untuk tanah NCR daripada kerajaan Pusat berjumlah kira-kira RM20 juta setahun, termasuk untuk pengukuran tanah bagi pengeluaran hak milik secara berkelompok atau Geran Komunal.
a
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran, Encik Kassim Haji Razali, Naib Ketua Bahagian, Encik Johari Saiman, Ketua Armada Bahagian, Encik Mohammad Ghazali Datuk Seri Panglima Haji Hajiji, Ketua Srikandi BERSATU Tuaran, Puan Jamaliah Antalib, Setiausaha BERSATU Bahagian, Encik Afizal Aldin dan Naib Ketua Armada Tuaran, Encik Muhammad Arziz Afizi Rusmani. – Sumber Facebook

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5495