Isteri Guan Eng Sebak Selepas Dituduh Di Mahkamah

Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menenangkan Betty Chew pada sidang media di Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH: Isteri Lim Guan Eng, Betty Chew sebak pada sidang media selepas beliau tampil di mahkamah bagi tuduhan pengubahan wang.

Beliau menyifatkan tuduhan terhadapnya semberono, menegaskan sasarannya adalah suaminya.

Mengatakan beliau seorang peguam selama 26 tahun, Chew berkata dirinya seorang warganegara yang sentiasa mematuhi undang-undang dan berhati-hati untuk tidak melanggarnya.

“Di mana salah saya?” katanya kepada pemberita di pejabat Lim di Parlimen Bagan. “Kenapa ada 3 tuduhan pengubahan wang terhadap saya?”

“Saya bukan kak long kawasan,” tambahnya. “Saya kena kerana saya isteri Lim? Adakah kerana kamu mahu putuskan hubungan saya dengan Lim, kemudian kamu akan lepaskan saya?”

Diapit Lim, yang juga sebak sambil menenangkan isterinya, Chew berkata dia akan bersama suaminya sepanjang masa sukar ini.

“Suami saya tak bersalah,” katanya. “Dengan beliau disamping saya, saya yakin.”

“Kesusahan ini akan menjadikan kami lebih kuat. Hari ini, kamu lakukan ini terhadap kami. Tuhan sedang memerhatikan, dan saya harap kamu akan dibalas atas apa yang kamu lakukan terhadap kami.”

Chew sebelum itu berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang bernilai RM372,009, berkaitan sebuah projek untuk asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.

Chew hari ini didakwa bersama Lim, yang didakwa menyalahgunakan kuasanya, dan seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon, yang didakwa bersubahat dengan Lim.

Pada sidang media sama, Lim mengatakan tuduhan terhadapnya suatu bentuk balas dendam politik.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *