Musa Aman, 32 ADUN Harap Semakan Kehakiman Dibenarkan

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokongnya, bertegas untuk meneruskan perjuangan bagi membentuk kerajaan negeri baharu di Sabah.

Musa berkata, mereka menyatakan harapan agar semakan kehakiman ke atas keputusan Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibenarkan mahkamah pada 17 Ogos kelak.

“Adalah menjadi harapan kami agar pihak mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan Tuan Yang Terutama yang membubarkan DUN Sabah kerana kami percaya beliau (Juhar) telah diberi nasihat yang salah.

“Gabungan 33 ADUN yang mewakili setiap parti politik yang berada di DUN Sabah ke-15 tetap teguh dalam perjuangan demi kebenaran dan keadilan.

“Penting bagi kita untuk terus bersatu agar dapat membawa Sabah kembali ke landasan yang betul,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Musa turut menjelaskan pendiriannya adalah untuk memulihkan semula Sabah terutama dari segi ekonomi berikutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah mencatatkan tahap rendah sewaktu pemerintahan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Laporan yang diterbitkan pada Ogos oleh Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menekankan KDNK di Sabah mencapai tahap terendah sebanyak 0.5 peratus pada 2019.

“Pengangguran pula berada pada 5.8 peratus (yang paling teruk dalam tempoh 20 tahun) dan ini bermaksud lebih daripada 117,000 rakyat Sabah menganggur dan dilanda kebimbangan pada awal 2020 ini.

“Tambahan pula, penurunan yang mengejutkan dalam pertumbuhan KDNK di Sabah selama dua tahun berturut-turut mencatatkan 1.5 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2019. Ini adalah sesuatu berbahaya.

“Ini amat memalukan di mana dua tahun sebelum ini kita dikenali sebagai negeri dengan kadar pertumbuhan KDNK terendah di seluruh Malaysia. Paling rendah walaupun dibandingkan dengan negeri termiskin di negara ini,” katanya.

Berikutan itu, Musa menyifatkan pertumbuhan ekonomi di Sabah mundur disebabkan kegagalan Ketua Menteri dan juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mentadbir negeri.

“Ini bukti Mohd Shafie gagal dalam membangunkan Sabah dan melindungi kesejahteraan rakyatnya.

“Semakin lama Mohd Shafie kekal berkuasa, Sabah akan terus mundur dari segi pembangunan ekonomi kerana aktiviti perniagaan yang semakin berkurangan dan kurangnya pelaburan asing secara langsung.

“Setelah memimpin Sabah dalam empat pilihan raya umum (PRU) dan memimpin ketua kapten selama 15 tahun, kerajaan negeri yang diterajui saya berjaya menstabilkan dan memacu ekonomi tempatan ke tahap baharu.

“Kami sebagai satu pasukan telah mengangkat martabat rakyat Sabah di mata negara dan tidak ketinggalan di persada antarabangsa. Saya biarkan fakta yang sedia ada menjadi bukti terhadap semua ini,” katanya.

Musa turut mengakui perjuangannya bersama 32 ADUN itu tidak dipersetujui dan disokong kebanyakan pihak tetapi menjelaskan tujuannya semata-mata demi masa depan Sabah.

Beliau turut menyeru agar semua rakyat Sabah bersatu hati memperjuangkan matlamat sama demi membawa Sabah keluar daripada penindasan ekonomi di samping mengecapi kemakmuran.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3451