James Ratib Mungkin Berehat Jika Tiada Parti ‘Berminat’

James Ratib sebelum ini adalah penyandang kerusi DUN Sugut selama 2 penggal selepas memenanginya pada pilihan raya umum Ke-13 dan 14. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sugut, James Ratib berkata, beliau mungkin akan berehat daripada politik sekiranya tiada parti yang berminat menggunakan khidmatnya untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, selepas keluar daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), beliau kini belum berparti dan masih menjadi wakil rakyat Bebas, tetapi adalah mustahil baginya untuk bertanding atas tiket Bebas.

“Jika ada parti yang berminat untuk menggunakan khidmat saya di Sugut sudah pasti saya kan mempertimbangkan untuk bertanding, tetapi sekiranya tiada, maka saya tidak akan bertandinglah.

“Sebenarnya banyak juga (parti) yang tawar, tapi saya belum buat keputusan kerana jika ia dibuat terburu-buru nanti akan mengecewakan rakan yang lain,” katanya ketika dihubungi , hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantarannya di Facebook yang menyatakan beliau mengucapkan selamat tinggal kepada arena politik.

Dalam hantarannya itu, James memuat naik gambar beliau yang berlatar belakangkan pokok durian dengan mesej ”Selamat tinggal politik, berebutlah kamu jadi YB’.

James berkata, hantarannya itu bukanlah bermaksud beliau menyerah kalah daripada politik kerana ia mempunyai maksud tersirat.

“Saya masih mempunyai sokongan kuat di Sugut dan saya calon ‘winnable’, tetapi jika tiada parti yang berminat maka saya berehatlah,” katanya.

James sebelum ini adalah penyandang kerusi DUN Sugut selama 2 penggal selepas memenanginya pada pilihan raya umum Ke-13 (PRU-13) dan 14.

Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kawasan itu dengan majoriti sebanyak 1,521.

Sugut menewaskan 3 calon lain, iaitu daripada Warisan, Aspah Abdullah Sani, Mohd Arshad Abdul (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), dan Ag Osman Asibih (Parti Kebangsaan Sabah).

Bagaimanapun, selepas kejatuhan kerajaan BN yang dipimpin Musa Aman, beliau keluar parti dan menyertai Upko untuk bersama kerajaan baru Sabah, ketika itu.

James juga adalah antara wakil rakyat terawal yang keluar parti kerajaan pimpinan Warisan bersama-sama seorang naib presiden Upko yang juga Adun Kuala Penyu, Limus Jury untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau dilihat bersama-sama dengan sekumpulan Adun lain yang menyatakan sokongan kepada Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan negeri, minggu lalu.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila ketua menteri, Mohd Shafie Apdal, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pada Khamis bagi membolehkan PRN diadakan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *