PRN Jalan Penyelesaian Kemelut Politik Sabah

KOTA KINABALU: Mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih, menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah satu-satu cara untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku ketika ini.

Bagaimanapun, Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata pelaksanaan PRN Sabah dalam keadaan pandemik COVID-19 juga diakui, mengundang kerisauan terutamanya rakyat.

“Mengambil kira keadaan semasa negara kita sedang bergelut dengan usaha memerangi pandemik COVID-19 dan Tan Sri Musa Aman telah membuktikan beliau sudah mempunyai Akuan Bersumpah (SD) majoriti mudah untuk menerajui kerajaan negeri, pilihan raya ini boleh dielakkan.

“Namun sesetengah pihak mungkin berpendapat, pandemik ini hanyalah alasan pincang jika ingin diguna pakai untuk tidak mengadakan PRN,” katanya ketika dihubungi BH.

Lee turut percaya, PRN Sabah juga akan digunakan sesetengah pihak bagi menutup kelemahan sendiri.

“Saya percaya, pastinya ada usaha menutup pekung (kelemahan) sendiri dengan menyatakan, PRN terpaksa diadakan atas sebab ada pihak kemaruk kuasa menyebabkan DUN terpaksa dibubarkan dan diadakan pilihan raya.

“Sebenarnya, pembubaran DUN dapat dielakkan dengan alternatif, pihak yang telah kehilangan sokongan majoriti memilih peralihan kuasa secara aman dan menyerahkan tampuk kepimpinan kerajaan kepada pihak yang memperolehi majoriti.

“Saya juga menjangkakan, ‘suara sumbang’ ketamakan kuasa akan menjadi topik paling hangat dalam PRN ini.

“Pasti akan ada pihak mempertikaikan integriti ADUN yang berpendapat, Sabah memerlukan kerajaan baharu untuk memacu pembangunan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah ketika pandemik serta sengaja mengetepikan bagaimana kerajaan sedia ada dibentuk pada 12 Mei 2018,” katanya.

Lee berkata, tiada isu tindakan pembubaran DUN disifatkan adalah langkah tidak bijak dan tidak relevan kerana perkara terbabit sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

“Ia termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Negeri Sabah, seperti Perkara 21(2) berkenaan kuasa Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Maka, tidak timbul isu ini kaedah ‘pintu belakang’ atau tidak.

“Cuma berkenaan sama ada keputusan pembubaran DUN ini oleh Datuk Shafie Apdal ini bijak dan relevan atau tidak, lazimnya seseorang pemimpin itu akan memilih pembubaran Dewan (DUN atau Dewan Rakyat) pada ketika parti atau perikatannya dalam keadaan paling kukuh dan kuat untuk memenangi pilihan raya.

“Tetapi dalam konteks ini DUN dibubarkan pada ketika dalam keadaan paling lemah. Saya percaya, WARISAN-PH-UPKO juga terkejut dengan keputusan ini dan belum sempat melakukan persediaan bagi menghadapi PRN,” katanya.

Lee menyimpulkan, PRN bakal mengubah landskap politik Sabah secara keseluruhan berikutan kemelut politik yang rumit .

“Sudah pasti PRN akan mengubah landskap politik Sabah kerana siapakah parti memerintah selepas PRN ini pun belum tahu lagi.

“Parti atau perikatan yang memerintah lepas PRN ini berkemungkinan mempunyai halatuju yang berlainan.

“Nampaknya kerajaan pintu belakang yang dibentuk hasil daripada lompatan ADUN tidak mampu bertahan lama,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

713