Ibu Selalu Didera & Adik Dirogol, Remaja Dilapor Tikam & Bunuh Bapa Tiri

Remaja lelaki terbabit ditahan selepas dipercaya tikam dan bunuh bapa tirinya.

JAKARTA: Gara-gara tidak tahan melihat ibu didera dan adik dirogol, remaja 18 tahun dari Indonesia ini tekad membunuh ayah tirinya sendiri.

Tragedi yang berlaku pada Khamis lalu itu bermula apabila remaja tersebut, sedang dalam perjalanan ke Balai Polis Muara Lakitan, Musirawas, Sumatera Selatan bersama ibunya.

Difahamkan, ibunya mahu membuat laporan polis mengenai tingkah laku suaminya yang sebelum itu didakwa sering bertindak ganas dan memukulnya.

Bukan itu sahaja, malah suaminya juga turut didakwa pernah merogol anak kandung perempuannya sebanyak dua kali di rumah mereka di Kota Palembang.

Bagaimanapun, perjalanan dua beranak tersebut ke balai polis terhenti apabila mangsa menghalang mereka di lokasi berkenaan.

Pergelutan mula berlaku apabila remaja itu mula hilang sabar terhadap tindakan ayah tirinya itu.

Dalam situasi tegang tersebut, remaja berkenaan yang sedang dilanda api kemarahan bertindak menikam dada mangsa dengan sebilah pisau dengan satu tikaman.

Usai ditikam, mangsa sempat kemudiannya lari menuju ke rumah penduduk berhampiran, namun remaja berkenaan sekali lagi bertindak menikam kaki kiri ayah tirinya itu sebanyak dua kali.

Mangsa rebah dan meninggal dunia di situ dengan satu tusukan di dada serta dua tikaman di kaki kiri.

Bagaimanapun, remaja tersebut pada waktu itu dilaporkan melarikan diri, sebelum pihak berkuasa memulakan pencarian terhadapnya.

Akhirnya pada keesokan harinya, remaja berkenaan tampil ke balai polis di Desa Air Balui untuk menyerah diri.

“Suspek berjaya diberkas dan telah mengaku bersalah membunuh mangsa dengan cara menusuk dadanya dengan sebilah pisau. Sehubungan itu, suspek dan barang bukti kejadian dibawa ke Balai Polis Musirawas untuk disoal siasat,” kata pegawai polis, M Romi memetik laporan Tribun News.

Sumber: Tribun News

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *