SPRM Sabah Siasat Dakwaan ADUN Ditawar Wang Untuk Lompat Parti

S.Karunanithy

KOTA KINABALU, 31 Julai: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah akan menyiasat dakwaan kononnya terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah ditawarkan wang dan jawatan untuk melompat parti.

Pengarahnya, S.Karunanithy berkata SPRM Sabah telah menghubungi ADUN yang dipercayai terlibat, baru-baru ini.

“Hasil interaksi itu, ADUN terlibat enggan membuat laporan rasmi kepada SPRM dengan alasan tiada sebarang transaksi rasuah yang berlaku ketika ini.

“Bagaimanapun, SPRM Sabah akan terus menjalankan siasatan dan bersedia menerima aduan serta maklumat berkaitan daripada mana-mana pihak yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat laporan media mendakwa kononnya beberapa ADUN Sabah telah ditawarkan wang dan jawatan untuk melompat parti.– BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3316