‘Keadaan Selamat Untuk Adakan PRN Sabah’ – WARISAN

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) dan Tan Sri Musa Aman.

‘Keadaan selamat untuk adakan PRN Sabah’

KOTA KINABALU: Pilihan raya negeri (PRN) di Sabah boleh diadakan dalam suasana selamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,

Sehubungan itu, Bendahari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Terrence Siambun, menolak kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang mendakwa PRN sebagai membazir dan tidak selamat.

Terrence berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) turut mengesahkan tiada masalah mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) kerana SOP ketat dilaksanakan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkali-kali merayu untuk berhenti berpolitik ketika ini dan meminta semua pihak bersatu membantu rakyat Sabah.

“Ini termasuk rayuannya ketika berucap di Dewan Rakyat, beberapa hari lalu.

“Tapi adakah Musa mendengar apa yang dikatakan Shafie? Tidak, kerana keutamaannya adalah untuk menjadi ketua menteri dan menjatuhkan kerajaan negeri ketika Shafie bergelut dengan bermacam-macam isu,” katanya.

Terrence berkata, Shafie tiada pilihan selain membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membiarkan rakyat Sabah menentukan siapa yang berhak memegang mandat rakyat.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) akan menjadi peluang terbaik bagi rakyat Sabah memutuskan dan menilai, terutama wakil negeri yang ‘melompat’.

“Ada antara mereka yang berulang kali menafikan akan ‘melompat’.

“Saya difahamkan mereka percaya dalam masa tiga tahun setelah Musa menjadi ketua menteri, rakyat Sabah akan melupakan perkara ‘melompat’ ini

“Pengumuman Shafie mengenai pembubaran DUN semalam (kelmarin) mengejutkan semua,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *