UMNO Mahu Labuan Dikembalikan Kepada Sabah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menawarkan empat perjanjian baru untuk rakyat negeri ini sebagai manifesto bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tawaran pertama ialah kerajaan Persekutuan tidak boleh lagi merancang pembangunan di Sabah kerana tugas itu akan dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah sepenuhnya.

“Kita hanya akan minta peruntukan. Kalau kita jangka peruntukan satu tahun RM5 atau 10 bilion, kerajaan Persekutuan menyerahkan dalam bentuk tunai kepada kerajaan Sabah dan akan diletakkan dalam perbendaharaan.

“Kedua, semua agensi kerajaan Persekutuan yang ada di Sabah harus dipegang oleh orang Sabah.

“Ketiga, Labuan akan kita kembalikan semula ke negeri Sabah dan akan dijadikan sebagai daerah tambahan negeri ini.

“Keempat, kita akan pastikan parti menguasai kerajaan sebab kita tidak mahu parti yang memerintah tidak akan berpanjangan apabila sudah tidak sehaluan dengan matlamat kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan bertempat di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut berkata tawaran terbabit hanya sebahagian dan selebihnya belum dapat diumumkan lagi berikutan harus diperincikan terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Bung berkata, pihaknya menjangka PRU-15 akan berlaku tidak lama lagi kerana beberapa faktor yang tidak dijangka.

“Saya menjangka PRU-15 berlaku bila-bila masa kerana waktu sudah tidak lama, malah dijangka pada tahun 2021. Ekonomi seluruh dunia adalah dalam keadaan tidak baik.

“Jadi, saya rasa UMNO Sabah harus bersedia bila-bila masa sahaja,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *