Empat Penjaga Premis Bar, Kafe & Bistro Di KK Dikompaun RM1,000

Pemeriksaan di salah sebuah premis di sekitar Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Empat penjaga premis jenis bar, kafe dan bistro dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam rondaan yang dilaksanakan di sekitar bandaraya, malam tadi.

Dalam rondaan bermula pukul 12 tengah malam, penjaga premis berusia antara 32 hingga 42 tahun itu didapati membenarkan pengunjung berhibur, menyediakan minuman beralkohol dan gagal mengawal pengunjung menjaga penjarakan sosial.

Pemeriksaan di salah sebuah premis di sekitar Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, satu rondaan dan pemantauan kawalan Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKPP) dilakukan di lima premis sekitar Waterfront da Karamunsing Capital.

“Hasil operasi sehingga pukul dua pagi mendapati ada empat premis didapati membenarkan pengunjung berhibur dan menyediakan minuman beralkohol di premis itu.

“Malah penjaga premis gagal mengawal pengunjung untuk menjaga penjarakan sosial,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Pemeriksaan di salah sebuah premis di sekitar Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, Habibi berkata, kompaun dikeluarkan kepada empat lelaki terbabit kerana didapati melakukan kesalahan dibawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit (No 7), Peraturan 3 dan boleh dihukum dibawah Peraturan 11 iaitu denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, objektif pemeriksaan ini adalah sebagai usaha untuk memastkan PKPP dipatuhi sepenuhnya terutamanya bagi pengusaha premis di daerah ini.

Terdahulu, operasi ini dilaksakan oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Sementara itu, di Penampang, seramai 52 individu dikenakan kompaun selepas gagal menjaga jarak sosial dalam operasi di sekitar daerah ini sejak 23 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan, Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi selama tiga hari itu, pemantauan PKPP dijalankan di beberapa lokasi tumpuan termasuk premis kafe.

Katanya, semua yang dikenakan kompaun berusia 15 hingga 40 tahun selepas didapati berkumpul di premis tanpa mengamalkan penjarakan sosial. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7003