Semakin Ramai Mula Lupa Pakai Pelitup Muka

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU: Kesedaran masyarakat memakai pelitup muka di kawasan awam di sini, masih rendah walaupun menyedari risiko penularan COVID-19 masih ada.

Tinjauan di kawasan sekitar bandar raya ini termasuk pusat bandar di Jalan Dhoby dan Jalan Wong Ah Fook di sini, mendapati, masih ramai tidak menggunakan pelitup muka di kawasan awam, meskipun laporan jangkitan wabak COVID-19 meningkat mendadak kebelakangan.

Orang ramai dilihat semakin melupakan pelitup muka terutama ketika berkunjung ke restoran atau kedai makan, kedai runcit dan serbaneka, mahupun di stesen minyak atau sekadar bersiar-siar bersama keluarga.

Apatah lagi beberapa premis perniagaan di sini, juga tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka buat masa ini dan hanya akan berbuat demikian, mulai 1 Ogos nanti.

Bagaimanapun, masih ada golongan yang terus setia memakai pelitup muka di kawasan awam dan dilihat hanya menanggalkannya ketika mahu minum dan menjamu selera makanan dipesan.

Pekerja swasta mahu dikenali sebagai Lily, 36, berkata orang ramai termasuk dirinya menyedari pemakaian pelitup muka mampu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 terutama apabila berada di tempat awam.

“Saya bukan tidak mahu pakai tetapi bila lihat ramai yang tidak lagi memakai pelitup muka,ia menjadikan saya pun jadi lupa dan leka.

“Apatah lagi ketika pergi makan di kedai makan nanti terpaksa dibuka. Bagi mengelakkan pelitup muka menjadi kotor dan bazir lebih baik simpan di dalam kereta sahaja, ” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan mulai 1 Ogos ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan COVID19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Peniaga nahu dikenali Azman Noor, 29, berkata orang ramai hanya akan menitik beratkan pemakaian pelitup muka jika satu-satu kawasan diisytiharkan sebagai zon tidak selamat terutama zon kuning atau merah.

“Ketika ramai selesa tidak memakai pelitup muka kerana kawasan bandar raya diisytiharkan kawasan hijau, malah pihak berkuasa tidak ambil tindakan kecuali pada 1 Ogos nanti.

“Di pasar dan pasar raya masih perlu memakai pelitup muka berikutan ia terus dikawal rapi kakitangan dan pihak berkuasa,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

534