“Kenapa Saya Perlu Sembunyi Orang”, Soal Shafie Kepada Jeffrey

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal membidas kenyataan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang mendakwa kononnya wakil rakyat Kerajaan Sabah disembunyikan.

“Kenapa saya perlu menyembunyikan orang? Saya tidak sembunyikan orang saya. Saya baru balik dari Parlimen di Kuala Lumpur. Kenapa mahu sembunyikan orang. Mereka ini ada keluarga dan ini adalah negara demokratik.

“Saya tidak sembunyikan Limus Jury dan James Ratib,” katanya bagi mengulas dakwaan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang menyatakan beliau sembunyikan wakil rakyat kerajaan.

Menurutnya, pihak pembangkang yang cuba mengurung orang tapi kini mendakwa beliau pula yang menyembunyikan orang.

“Mereka yang mengurung dan menggangu orang lain, ini adalah realitinya. Sudah jelas orang tidak mahu dan lihat dalam blog dan media sosial, orang ramai juga menyatakan cukup-cukuplah menggangu,” jelasnya.

Ditanya mengenai langkah mengubal undang-undang anti lompat parti, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini menyerahkan kepada Peguam Besar Sabah yang baharu, Brenndon Keith Soh untuk melihat keperluan pembentukan undang-undang tersebut.

Katanya, pembentukan undang-undang sebegitu lebih kepada melindungi parti dan bukan kepentingan individu.

“Apabila individu beralih sokongan, kita mahu parti itu masih kekal di situ dan inilah yang setiap parti perlu pegang. Ini melibatkan impilkasi perundangan terhadap tanggungjawab seseorang. Bila seseorang individu melakukan kesalahan adakah parti atau individu yang akan terjejas?.

“Banyak pandangan yang boleh diambil kira untuk mengelakkan orang melompat. Apa yang penting, orang ramai perlu menilai jika individu itu sentiasa melompat dari satu parti ke parti yang lain, apa terjadi kepada mereka? Lebih baik pengundi sendiri yang menghukum mereka, ini lebih efektif,” katanya seleas Majlis Penyampaian Watikah Peguam Besar Sabah yang baharu, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.

Tambahnya, penstrukturan undang-undang sedia ada perlu dilakukan bagi mengukuhkan kedaulatan undang-undang peringkat negeri.

Mohd. Shafie berkata, ada antara undang-undang sudah agak lama dan perlu ditambah baik bersesuaian dengan keadaan semasa antaranya dalam aspek perhutanan, perlombongan serta minyak dan gas.

Katanya, beliau tidak mahu ada pertindihan peranan di peringkat kementerian, maka penyelarasan perlu dilakukan bersesuaian dengan enakmen yang ada.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *