Ketua Polis Lahad Datu Disiasat Kes Anak Mati Tertembak

Jauteh ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di pekarangan SMK Pengalat, Putatan pada Sabtu

PAPAR : Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan belum terdapat sebarang keputusan menyeluruh berkaitan kes kematian anak Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu.

Bagaimanapun, Jauteh menyatakan KPD Lahad Datu sendiri antara individu yang disiasat berhubung kes terbabit.

“Secara keseluruhannya, belum ada keputusan menyeluruh tentang kes ini. Tetapi siasatan turut dibuat ke atas KPD Lahad Datu sendiri ekoran pemilikan pistol yang dikaitkan dalam kes ini adalah milik beliau.

“Sekiranya ditanya tentang wujudnya sebarang unsur kecuaian, perkara itu juga masih dalam siasatan,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat hari ini.

Terdahulu, anak perempuan KPD Lahad Datu ditemui maut dipercayai tertembak diri sendiri secara tidak sengaja menggunakan pistol milik bapanya dalam kejadian di kediaman mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu pada 16 April lalu.

Dalam kejadian pada pukul 12.42 tengah hari itu, mangsa berusia 14 tahun terbabit ditemui dalam keadaan berlumuran darah di salah sebuah bilik oleh kakak mangsa yang berusia 16 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, mangsa ditemui oleh kakaknya yang berusia 16 tahun.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *