Lebuh Raya Pan Borneo: RM651 Juta Pampasan Dibayar Kepada Pemilik Tanah, Struktur Di Sabah

KOTA KINABALU: Pampasan berjumlah RM651 juta telah dibayar kepada 1,591 pemilik tanah dan struktur yang terlibat dalam pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya yang juga menteri kerja raya Sabah berkata, pembayaran pampasan hingga 2019 itu melibatkan 12 pakej bawah seliaan Rakan Penyampai Projek (PDP).

“Pakej-pakej itu termasuk menaik taraf jalan dari Sindumin ke Kampung Melalia, Kampung Melalia ke Beaufort, Beaufort ke Bongawan, Bongawan ke Papar, Papar ke Donggongon, Putatan ke Inanam, Inanam ke Sepanggar dan Sepanggar ke bulatan Berungis.

“Ia turut merangkumi pembinaan jalan dari Pituru ke Rampayan Laut, menaik taraf jalan dari Tawau ke Semporna (Pakej Satu, Fasa Dua), membina jalan Lahad Datu Bypass dan menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32,” katanya pada sidang DUN Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung jumlah keseluruhan pampasan dan pemilik tanah yang telah dibayar bagi setiap pakej bawah PDP projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

Shahelmey berkata, setakat 1 April lepas, sebanyak RM1.147 bilion pampasan telah dibayar kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya tersebut.

Katanya, jumlah pampasan tanah dan struktur di Sarawak rendah berbanding di Sabah kerana koridor jalan sedia ada di negeri itu adalah selebar 100m, tetapi koridor sedia ada di sini selebar 30m sahaja.

Tambahnya, secara dasar, pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak adalah untuk menaik taraf jalan persekutuan utama sedia ada, namun jalan-jalan tersebut hanya ada satu lorong dua hala yang kemudian dinaik taraf kepada dua lorong dua hala.

“Maka ia melibatkan pengambilan tanah yang lebar. Dalam pengambilalihan tanah, Sarawak kurang pampasan berbanding dengan Sabah.

“Ia melibatkan bukan sahaja pengambilalihan tanah, tetapi pembayaran ganti rugi rumah-rumah ataupun struktur-struktur yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, maklumat terperinci akan diberikan secara bertulis selepas maklumat diperoleh daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *