Pelajar Sabah Terpilih Untuk Pertandingan Esei OxBright 2024

KENINGAU : Seorang pelajar tahun kedua program Teknologi Elektrikal di Kolej Vokasional Keningau, Olienardo Alexander, telah disenaraipendek untuk pertandingan esei Oxbright tahun 2024 dalam kategori kejuruteraan.

Pertandingan yang terbuka kepada pelajar berumur 15 hingga 18 tahun tersebut menawarkan pelbagai anugerah termasuk anugerah esei terbaik keseluruhan, anugerah esei terbaik untuk setiap kategori, dan anugerah esei kepujian.

Majlis penganugerahan akan berlangsung pada 11 Mei 2024 melalui aplikasi Zoom.

Olienardo, 17 tahun, menulis esei untuk kategori kejuruteraan di mana artikel tersebut memberi gambaran bagaimana jurutera dan usahawan, dengan sokongan pemimpin dunia serta pempengaruh dan selebriti, boleh memangkin penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan seterusnya menangani isu alam sekitar yang berpunca daripada penggunaan bahan api fosil.

Esei yang ditulis dalam Bahasa Inggeris ini bertajuk “Let’s Electrify The World To Run On Renewable Energy” menyokong usaha untuk mengamalkan kelestarian dalam penggunaan tenaga dalam setiap aspek kehidupan masyarakat.

Olienardo seakan-akan tidak percaya bahawa dia telah disenaraipendekkan untuk anugerah-anugerah pertandingan esei ini memandangkan pertandingan ini sangat kompetitif dan ianya telah menerima penyertaan dari seluruh dunia.

Dia menganggap ini sebagai pembakar semangat bagi dia untuk mempertingkatkan kemahiran menulisnya.

Pengarah kolej, Nordin bin Akup, menyatakan rasa bangganya terhadap pencapaian Olienardo kerana ini boleh memotivasikan pelajar lain untuk meningkatkan kemahiran menulis mereka terutamanya penulisan esei Bahasa Inggeris yang seterusnya dapat meningkatkan kecekapan bahasa Inggeris mereka.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *