WARISAN Sedia Beri Ruang Tun M Sertai Parti

Warisan sedia pertimbang mengubah perlembagaan parti bagi memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai parti tersebut.

SANDAKAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) sedia mempertimbangkan untuk mengubah perlembagaan parti bagi memberi ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai parti tersebut.

Pengerusi Tetap, Datuk Liew Vui Keong berkata penyertaan bekas perdana menteri itu dalam Warisan mungkin boleh berlaku.

Namun, katanya, jika itu berlaku, perlembagaan parti tersebut perlu diubah terlebih dahulu.

“Saya rasa kemungkinan itu sememangnya ada, buat setakat ini parti Warisan Sabah hanya tumpu kepada negeri Sabah tetapi perlembagaan boleh ditukar untuk menjadikan Parti Warisan Malaysia.

“Tapi ini memerlukan perubahan kepada perlembagaan parti. Jadi ini dalam proses dan selepas itu kita serahlah kepada sesiapa sahaja sekiranya kita telah menubuhkan Parti Warisan Malaysia untuk bersama-sama dengan kita adalah perjuangan kita.

“Saya rasa kemungkinan untuk Ahli Parlimen yang lain yang belum ada platform dan sekiranya mereka ingin nanti bersama-sama dengan perjuangan Warisan, saya rasa kita boleh mempertimbangkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI dalam lawatan kerja ke Kampung Sirabut, di sini.

Sebelum ini, ada pihak mengutarakan pendapat supaya Ahli Parlimen Langkawi yang mencalonkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri itu menyertai Warisan.

Terdahulu, Dr Mahathir bersama lima lagi Ahli Parlimen merupakan pengasas dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun, keahlian mereka digugurkan baru-baru ini selepas enggan bersama-sama menyertai Perikatan Nasional dan enggan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. – Awani

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *