Polis Gempur 22 Sarang Dadah Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menggempur 22 sarang dadah di sekitar daerah ini menerusi Op Sarang Khas yang dilaksanakan semalam.

Operasi bermula pukul 12 tengah malam itu berjaya menahan 44 individu atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dan turut merampas 13.53 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, satu operasi besar-besaran dilancarkan untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Katanya, Op Sarang yang berakhir pukul 5 petang semalam berjaya memeriksa di kawasan hotspot penempatan setinggan atas air dan kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sebanyak 22 serbuan dijalankan di kawasan yang dikenal pasti menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan sepanjang operasi, seramai 105 individu diperiksa dan seramai 44 daripadanyua ditahan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

“44 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun itu ditahan selepas didapati terbabit dalam kes pengedaran dan memiliki dadah serta ujian urin positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, semua individu ditahan mengikut kesalahan masing-masing iaitu dibawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Keseluruhan rampasan dadah dalam tempoh ini juga adalah sebanyak 13.53 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,353 berdasarkan harga dadah semasa,” katanya.

Habibi dalam pada itu turut memaklumkan operasi itu dijalankan serentak di seluruh negeri bagi mengesan dan mengekang segala aktiviti pengedaran, penyeludupan dan penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, kerjasama daripada orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian 088-529220 atau laman rasmi Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu untuk diambil tindakan segera,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *