Lebih 3,000 Ahli PKR Cabang Pitas Umum Keluar Parti

Seramai 3,125 ahli PKR Sabah daripada Cabang Pitas hari ini mengambil keputusan untuk keluar daripada parti tersebut.

KOTA MARUDU: Seorang pemimpin kanan PKR Sabah hari ini, mengumumkan beliau bersama 3,125 ahli daripada Cabang Pitas mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Naib Ketua PKR Cabang Kudat, Datuk Seri Rudy Awah yang mengetuai kumpulan ahli PKR itu mendakwa mereka mengambil keputusan untuk keluar secara beramai-ramai selepas melihat ketidaktentuan hala tuju parti terutama membabitkan Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah.

“Kami sebulat suara mengumumkan keluar parti. Hampir dua tahun menjalankan tugas sebagai Penyelaras DUN (Dewan Undangan Negeri) Pitas.

“Ahli-ahli yang dibawa masuk (ke dalam PKR sebelum ini) iaitu seramai 3,125 orang akan keluar parti bersama-sama (hari ini),” katanya dalam sidang media, di sini.

Sementara itu, Rudy berkata, beliau dan ahli yang bertindak keluar parti pada hari ini juga mengumumkan pendirian mereka menyokong Perikatan Nasional (PN) di Sabah.

“Kami akan menyokong penuh PN dan juga kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Latihan dan Jentera Parti MPN PKR Sabah berkata, mereka selepas ini akan menggunakan platform Persatuan Jiwa Anak Pitas untuk meneruskan perjuangan sekali gus berkhidmat untuk masyarakat setempat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *