Budak Disambar Buaya!

Lokasi kejadian. – Foto Agensi

Mexico City: Seorang budak lelaki parah selepas dia digigit dan ditarik seekor buaya berhampiran pantai El Palmar, Ixtapa, Guerrero.

Mangsa berusia enam tahun itu dikatakan bermain bersama kakaknya di muara sungai di kawasan berkenaan yang menjadi habitat buaya.

Lazimnya, kakitangan resort akan memberi makan buaya di situ sebagai salah satu tarikan kepada pelancong.

Difahamkan, ibu bapanya sudah memberi amaran supaya tidak bermain di situ, namun dua beradik itu tidak mengendahkannya dan meneroka kawasan berkenaan.

Newsweek dalam laporannya memaklumkan, saksi melihat kepala kanak-kanak itu disentap dengan ganas oleh haiwan berkenaan sebelum ditarik masuk ke dalam air.

Bagaimanapun, budak berhempas pulas melepaskan diri dengan bergelut selama 10 minit, manakala buaya berkenaan berterusan menggigit kepala, bahu, dada dan kaki mangsa.

Menyedari kejadian itu, pengunjung dan penyelamat pantai membaling batu kepada haiwan berukuran tiga meter berkenaan dengan harapan ia akan melepaskan kanak-kanak itu daripada terus digigit.

Sebaik dilepaskan haiwan berkenaan, mangsa terus ditarik keluar daripada air untuk dikejarkan ke hospital berhampiran dan kini dilaporkan kritikal.

Menurut Mexico News Daily, sebaik tiba di hospital pasukan perubatan segera memberi rawatan kecemasan bagi mengelak pendarahan lebih serius.

Sejak pandemik Covid-19 dikesan di Mexico, beberapa laporan diterima mengenai pertambahan kehadiran buaya di pantai negara berkenaan.

Pada April lalu, seekor buaya tiba-tiba muncul di La Ventanilla, Oaxaca sebuah lokasi popular pelancong buat pertama kalinya sejak sedekad lalu.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *