Mayat Lelaki Ditemukan Tertiarap Di PPR Sri Balung

TAWAU; 19 JULAI 2020 (Ahad) – Mayat lelaki dewasa ditemui di sebuah unit kediaman tingkat 4 Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Sri Balung, Tawau, kira-kira pukul 9 malam, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Zulbada Alior yang dihubungi pemberita RTM berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di hadapan pintu tandas oleh pihaknya sebaik mendapat panggilan kira-kira pukul 8.38 malam untuk memeriksa mangsa.

Beliau berkata, sepasukan 7 anggota diketuai PBK II Hajim Abdul Malak kemudian respon ke lokasi menggunakan sebuah jentera dan EMRS.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati pintu rumah mangsa terkunci sebelum pasukan bomba menolak pintu berkenaan dan menemui mangsa dalam keadaan tertiarap.

Katanya, pihaknya kemudian menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk tindakan.

Sementara itu, tinjauan RTM di lokasi kejadian mendapati, petugas KKM lengkap memakai Pakaian Pelindung Khas (PPE) memasuki rumah terbabit kira-kira pukul 11.30 malam sebelum mengusung turun mayat pukul 12 tengah malam. Tinjauan juga mendapati ahli keluarga mangsa turut berada di tingkat bawah bangunan PPR terbabit.

Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut. – BESTAWAUfm

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3776