Buaya Baham Pemuda Di Sungai Kalabakan Bulan Lalu Berjaya Ditangkap

Seekor buaya yang disyaki menyerang dan membaham seorang pemuda dalam dalam kejadian pada 3 Julai lalu berjaya ditangkap hari ini. – Foto Jabatan Hidupan Liar Tawau

KALABAKAN: Seekor buaya berukuran lebih empat meter yang dipercayai menyerang dan membaham seorang pemuda, Sukrien Jesman Yusoff, 24, di Sungai Kalabakan, 3 Julai lalu berjaya ditangkap hari ini.

Ia susulan perangkap dan pancing buaya yang dipasang oleh Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, di beberapa lokasi di kawasan sungai itu antara 5 hingga 15 Julai lalu.

Pegawai JHL Daerah Tawau, Sailun Aris berkata, reptilia itu berjaya ditangkap selepas ia memakan umpan yang baharu dipasang di sungai Kampung Tanjung Sapi, 15 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan yang dibuat anggota JHL hari ini menemukan seekor buaya yang sudah mati tersangkut pada mata pancing kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Berdasarkan keadaan fizikal, kami percaya bangkai buaya berkenaan sudah mati dalam tempoh lebih daripada 24 jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya turut memaklumkan tangkapan bangkai buaya berkenaan kepada ahli keluarga mangsa.

“Sebagai menghormati permintaan mereka, bangkai buaya itu kemudiannya dibelah dan menemukan sisa tulang tangan manusia dipercayai milik mangsa sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa untuk tujuan pengebumian,” katanya.

Sailun juga berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia berkenaan juga disyaki yang telah menyerang seorang wanita, Nur Hayati Talib, 50 dalam kejadian pada pada 25 Jun lalu selain beberapa lagi kes serangan buaya yang dilaporkan sebelum ini.

Katanya, bangkai buaya itu kemudiannya ditanam tidak jauh dari kawasan tebing sungai di situ oleh anggota JHL dengan bantuan penduduk kampung.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2277