Terkejut Tengok Katak Berwarna Kuning

Kemunculan katak berwarna kuning di kampung Amgaon di daerah Narsinghpur, India mengejutkan penduduk. Foto Agensi

NEW DELHI: Kemunculan sekumpulan katak berwarna kuning di sebuah padang mengejutkan penduduk kampung Amgaon di daerah Narsinghpur, India kerana tidak pernah melihat spesies amfibia berkenaan.

Hindustan Times melaporkan, video itu sempat dirakam sebelum dikongsikan portal DD News menerusi platform Twitter.

Rakaman video berdurasi 31 saat itu menunjukkan kumpulan katak itu melompat di kawasan padang yang becak.

Namun, haiwan itu hanya berkumpul di sekitar kawasan berkenaan saja.

Ciapan video itu meraih 85,000 tontonan dengan 4,900 tanda suka dan 1,400 ulang ciap.

Video berkenaan menarik perhatian warganet hingga menjadi perbualan dalam kalangan mereka yang rata-ratanya tidak pernah melihat spesies itu.

Majoriti warganet turut menyifatkan spesies itu unik dan ada yang menyamakannya dengan haiwan lain.

“Ini kali pertama saya melihat katak berwarna kuning dan ia sangat cantik,” ciap seorang pengguna Twitter.

Seorang lagi pengguna mengatakan spesies haiwan itu kelihatan seperti itik.

Manakala, ada juga yang mendakwa pernah melihat spesies katak itu ketika zaman kanak-kanaknya.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1423