Naik Kapal Terbang Ke Sekolah

Farid memuat naik statusnya di media sosial.

MANADO: Impian seorang remaja lelaki menaiki pesawat akhirnya tercapai dan lebih menarik, dia menaiki pesawat itu ke sekolah.

Tribun News melaporkan, Farid Samu yang baru berusia 17 tahun itu membeli tiket pesawat menggunakan wang simpanannya sendiri.

Disebabkan teruja, Farid merakam video pengalamannya menaiki pesawat sebelum memuat naiknya di aplikasi TikTok pada 10 April lalu.

Tanpa disangka, video berkenaan mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial hingga meraih 2.6 juta tontonan.

Menerusi video berkenaan, Farid dilihat memakai uniform sekolah sambil menggalas beg selain merakam menu sarapan dan tiket pesawat.

Menurut Farid, itu kali pertama dia menaiki pesawat dan terpaksa kerana sudah terlambat untuk ke sekolah.

“Saya berada di Surabaya untuk majlis bersama keluarga tetapi dihubungi guru yang meminta saya pulang segera ke Manado kerana terbabit dengan satu projek di sekolah.

“Disebabkan masa yang terlalu suntuk, saya akhirnya memilih untuk menaiki pesawat pulang dari Surabaya ke Manado.

“Mujurlah saya sempat tiba di sekolah walaupun sedikit terlambat ketika itu,” katanya.

Menurut Farid, dia tidak berniat untuk memuat naik video berkenaan di TikTok.

Malah, dia turut terkejut apabila video berkenaan tular dan meraih tontonan yang tinggi di laman sosial.

“Namun, mereka yang terdekat dengan saya menyokong dan sukakan video berkenaan,” katanya.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *