Samun Bersenjata, Satu Diberkas, Rakan Masih Diburu

Foto Ihsan IPD Sandakan

SANDAKAN: Polis memburu seorang lagi penyamun yang masih bebas dipercayai terbabit dalam dua kejadian samun bersenjatakan pisau di daerah ini sejak Ahad lalu.

Rakannya berusia 34 tahun berjaya diberkas menerusi Op Cantas yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di Jalan Singapore, kira-kira jam 10 malam, Isnin lalu.

Sehari sebelum ditangkap, kedua-dua lelaki terbabit yang menggunakan kereta PROTON Saga FLX berwarna emas dipercayai menyamun seorang lelaki dan wanita yang sedang makan di gelanggang bola keranjang Taman Parkview Villa, Bandar IJM di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, suspek dipercayai mengacukan pisau dan meminta mangsa menyerahkan barangan peribadi termasuk telefon bimbit, cincin emas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM6,160.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata suspek turut menyamun dua mangsa yang sedang berjoging di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Leila, kira-kira pukul 5 petang, keesokan harinya.

“Suspek dipercayai mengacukan pisau ke arah kedua-dua mangsa dan melarikan barangan peribadi dianggarkan bernilai RM1,000.

“Polis giat memburu seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Mohd Azhar berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1163