BERSATU Tawau Siap Sedia Hadapi PRU Mengejut

Nizam Abu Bakar Titingan

TAWAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cawangan Tawau sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya diadakan pada masa terdekat.

Ketua Penaja BERSATU Tawau Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat di peringkat Parlimen Tawau untuk mengemaskan jentera bagi menghadapi PRU akan datang.

“BERSATU Tawau sudah cukup bersedia sekiranya berlakunya PRU mengejut kerana jentera kita sudah disiapkan lebih awal terutamanya untuk memenangi hati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkeyakinan dengan adanya gerak kerja yang sudah diatur lebih awal, pihaknya mampu menawan hati rakyat di Parlimen Tawau.

“Dengan adanya kerjasama semua ahli BERSATU Tawau, saya optimis jentera BERSATU Tawau boleh melakukan kerja dengan mudah serta menyakinkan semua pengundi Parlimen Tawau.

“Saya percaya semua pengundi sudah matang memilih pemimpin yang mereka harapkan dan pemimpin daripada BERSATU yang dipilih kelak sudah pasti dari kalangan yang berpengalaman dan berjiwa rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Majlis pertandingan Pusat Sumber Mini Komuniti Ibu bapa dan Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Titingan Tawau, di sini.

Mengulas mengenai program itu, beliau mengucapkan tahniah kepada SK Titingan kerana satu-satunya sekolah yang berjaya mengadakan program pertandingan pusat sumber.

Menurutnya, program yang diadakan ini sangat unik kerana pihak sekolah bukan sahaja menumpukan pusat sumber di dalam sekolah tetapi dikembangkan di dalam rumah setiap murid.

“Program ini merupakan satu contoh yang sangat baik dalam melahirkan murid yang cintakan ilmu dan perlu dicontohi oleh semua sekolah di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, melalui program mewujudkan pusat sumber di rumah murid juga dapat memupuk dan mendidik murid sekolah suka membaca.

“Murid-murid juga dapat mengisi masa lapang di rumah dengan aktiviti membaca dan tidak menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

“Saya berharap semua ibu bapa dapat menterjemahkan aktiviti yang disarankan oleh pihak SK Titingan ini supaya suasana rumah mereka menjadi sebuah mini perpustakaan yang membawa manfaat kepada anak-anak mereka,” katanya.

Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan pelitup muka, cecair sanitasi dan penyukat suhu kepada pihak SK Titingan yang disampaikan kepada Guru Besar sekolah itu Nurul Azizah Abdullah.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2761