Pemandu Bas Kena Penjara 9 Tahun Kerana Cabul Pelajar OKU

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap seorang pemandu bas selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang pelajar kurang upaya.

Tertuduh yang berusia 52 tahun turut diperintahkan membayar denda RM10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar 2016 ketika mangsa berusia 14 tahun di dalam sebuah bas, di sebuah sekolah di sini.

Remaja terbabit yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan turut mengadu mengalami sakit di bahagian payudara dan kemaluan pada Januari 2018, sebelum ibu mangsa membawa mangsa ke sekolah dan mendapati rakan mangsa menyaksikan tertuduh menyentuh payudara serta memasukkan tangan ke dalam pakaian mangsa.

Pada awalnya, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan, namun pertuduhan dipinda kepada Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat dengan mempertimbangkan beberapa faktor termasuk iaitu tertuduh membuang masa dan perbelanjaan awam mahkamah kerana adanya perbicaraan apabila tertuduh mengaku tidak bersalah.

Dalam kes itu, katanya, mangsa adalah pelajar istimewa dan tertuduh mengambil kesempatan ke atas mangsa.

“Tertuduh diberi kepercayaan oleh keluarga mangsa untuk membawanya ke sekolah dan pulang dengan bas yang dikendalikan oleh tertuduh. Tertuduh menyalahgunakan amanah ini,” katanya.

Awang Kerisnada turut membenarkan penangguhan hukuman terhadap tertuduh selepas peguam memohon untuk merayu ke atas keputusan mahkamah dan mahkamah menetapkan penangguhan hanya terpakai kepada hukuman penjara.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto, manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Lincon, Mohamed Zairi dan Douglas Lim.

Sepanjang perbicaraan yang berlangsung antara Januari tahun lalu sehingga Mac tahun ini, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi, manakala pihak pembelaan memanggil empat saksi termasuk tertuduh.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2197