Pelajar Maut Terkena Renjatan Elektrik

Tiang lampu yang dipegang mangsa sebelum tidak sedarkan diri. – Gambar sumber WhatsApp

KOTA KINABALU: Seorang pelajar lelaki tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di sini meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Sebelum kejadian mangsa dipercayai bermain bola semasa hujan renyai-renyai bersama rakan-rakannya berhampiran sebuah gelanggang bola keranjang dekat Taman Bandar Sierra di sini.

Mangsa dikatakan tergelincir semasa bermain bola sebelum terjatuh dan memegang sebatang lampu di kawasan terbabit.

Akibat daripada itu, mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri dan selepas kira-kira seminit, mangsa didapati bernafas secara tercungap-cungap.

Rakan-rakan mangsa dan orang awam yang berada di lokasi kejadian turut memberi bantuan kecemasan sebelum ambulans tiba dan membawa mangsa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya dihubungi hospital berhubung kejadian terbabit dan pegawai perubatan hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 8.21 malam.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kejadian berkenaan mulai tular di media sosial sejak semalam yang menunjukkan gambar mangsa diberi rawatan kecemasan oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

29109