Tun M Ketuai Lima Ahli Parlimen Bentuk Blok Bebas Bersama WARISAN

(Dari kiri, atas) Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Datuk Dr Shahruddin Salleh.

KUALA LUMPUR: Lima Ahli Parlimen menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengambil langkah kekal bersama Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk blok Bebas di dalam dan luar Parlimen.

Selain Dr Mahathir selaku Ahli Parlimen Langkawi, lima Ahli Parlimen yang menyokongnya adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

Selain itu, Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) serta Datuk Dr Shahruddin Salleh (Sri Gading).

Lima yang lain sebelum ini keahlian mereka dalam BERSATU sudah digugurkan kecuali Shahruddin, yang sebelum ini meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan parti politik yang lain, sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Kami juga menentang sebarang usaha menggantikan Speaker (Dewan Rakyat) dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menubuh kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

“Kami masih utamakan perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya kerajaan kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Mengulas lanjut, mereka menjelaskan keputusan dibuat itu selepas mengambil ketetapan untuk berpegang kepada keputusan pada akhir Jun iaitu menamakan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Biarpun Majlis Presiden PH sudah menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, ia tidak membabitkan mereka mahupun Ahli Parlimen dari WARISAN.

“Kami masih lagi berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin WARISAN, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP pada 25 Jun lalu.

“Di dalam perbincangan itu, Amanah dan DAP mencadangkan Shafie sebagai calon Perdana Menteri dan Anwar serta Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama dan kedua,” katanya.

Katanya, mereka bersetuju dan menyokong cadangan itu kerana mahu menyelesaikan kebuntuan memilih calon yang sesuai dan mampu mendapatkan sokongan untuk mengambil kembali mandat rakyat dari kerajaan sekarang.

“Bagaimanapun, apabila menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH pada 6 Julai, telah tidak berpegang kepada keputusan menamakan Shafie dan sebaliknya menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Bagi pihak kami, mencalonkan Shafie satu langkah positif yang perlu diambil. Ia bukan sahaja kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1584