Semua Tanah Milik Kroni Kerajaan Lama Akan Di Ambil Kembali

KENINGAU: Kerajaan Sabah akan mengambil kembali ratusan ribu hektar tanah milik rakyat yang sebelum ini diberikan kepada tauke-tauke balak dan kroni kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kontrak perjanjian berat sebelah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, tanah-tanah itu akan diserahkan kepada rakyat Sabah kerana dasar pentadbiran kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) ialah memastikan tanah yang telah diusahakan rakyat menjadi milik sendiri.

“Dalam keputusan kerajaan negeri yang baharu bahawa kesemua pemberian tanah-tanah dan kami percaya di peringkat negeri bahawa berlaku lopsided (perjanjian berat sebelah) tetapi perjanjian yang berpihak kepada seseorang , maka kita telah meminta di peringkat kerajaan negeri menilai kembali perjanjian tersebut sekiranya berlaku kesilapan ataupun kelemahan di dalam perjanjian-perjanjian sebelum ini, maka sudah tentu kita akan ambil tanah ini akan diambil oleh kerajaan negeri semua tanah ini.

“Sekiranya perlu, kita akan serahkan mana-mana permohonan yang ada termasuk dalam tanah ini, serahkan kembali kepada masyarakat terutama masyarakat luar bandar untuk mengusahakan tanah-tanah, bayangkan, ratusan ribu ekar yang tengah kita kenal pasti , konsasi-konsesi yang telah diberikan daripada kerajaan lama , hutan simpan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan lama ini tengah dikaji dan saya percaya di bawah kepimpinan tertinggi  yang diketuai Ketua Menteri ada kaedah untuk enangani atau menyelesaikan masalah ini supaya tanah-tanah yang diberikan oleh kerajaan lama sebelum ini kepada kroni-kroni yang telah disebut oleh Ketua Menteri ini akan dapat kita ambil semula tanah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penyerahan geran tanah kepada penduduk Keningau dan Sook di Dewan Masyarakat Keningau, semalam.

Sebelum ini, telah beberapa kali didedahkan bagaimana pemerintahan terdahulu menyerahkan tanah kepada kroni untuk tujuan pembalakan dengan tempoh pemilikan tanah ada yang mencecah sehingga 100 tahun.

Ketika rakyat memohon untuk memiliki tanah, kerajaan terdahulu sebaliknya menggunakan sistem komunal iaitu meletakkan nama pemohon pada tanah yang dipohon tetapi diusahakan oleh syarikat atau agensi manakala rakyat hanya perlu menunggu dividen yang tidak seberapa.

Sistem tersebut mendapat kritikan kerana tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat berbanding jika tanah itu diusahakan sendiri dengan pelbagai tanaman yang boleh dijual untuk mendapatkan pendapatan lebih tinggi berbanding bayaran dividen.

Bagaimanapun, sejak Warisan memerintah, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd, Shafie Apdal mempermudahkan setiap permohonan tanah oleh rakyat, malah lebih 9,000 hektar tanah rizab kerajaan telah ditukar status dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini untuk diserahkan kepada rakyat seluruh negeri yang membuat permohonan.

Di tanya tentang bagaimana pimpinan sekarang boleh memberikan tanah melalui prosedur yang begitu mudah berbanding kerajaan terdahulu, Peter berkata, ia disebabkan keikhlasan Ketua Menteri yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam pentadbiran beliau.

“Di bawah pengurusan baru, kerajaan baru yang dipimpin oleh Ketua Menteri, kita nampak keihklasan, keterbukaan kerajaan negeri Sabah, yang tidak mengharapkan apa-apa. Pada suatu ketika dahulu, jika kita nampak seperti mana ucapan Ketua Menteri bahawa kebanyakan tanah-tanah ini diberikan kepada kroni-kroni dan ada yang  melibatkan hampir 100 tahun, 99 tahun dan kebanyakan tanah ini melibatkan skala yang begitu besar dan ini bukan melibatkan orang kampung tetapi kepentingan individu tertentu iaitu kroni-kroni mereka yang diberikan kekayaan dan ini sepatutnya tidak berlaku, tetapi saya percaya di dalam keputusan baru-baru pun kita mohon supaya dia dikaji semula.

“Antara sebab penyumbang kenapa pengurusan pada ketika ini lagi efisien daripada yang lama adalah bagi saya, terus terang saya nyatakan di sini adalah ini disebabkan sesuatu pentadbiran di peringkat negeri itu mesti ada keikhlasan dia, ada kejujuran dia dan ada keterbukaan dia. Sekiranya ada keihklasan, ada kejujuran , keterbukaan dan prihatin terhadap penduduk-penduduk maka bukan sahaja masalah tanah dapat diselesaikan, tetapi banyak lagi masalah kebajikan Sabah yang sepatutnya dapat kita bantu kepada Sabah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

8099