UMNO Sabah Sudah Tidak Laku – Abdul Latiff

Dr. Abdul Latiff Ahmad

KOTA KINABALU: UMNO Sabah sudah tidak laku selepas pemimpin-pemimpinnya lompat kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Demikian ditegaskan bekas pemimpin UMNO yang kini bersama Bersatu, Dr. Abdul Latiff Ahmad ketika mengulas tentang senario terkini UMNO Sabah.

Selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam pilihan raya umum 2018, sebahagian besar pemimpin UMNO Sabah melompat menyertai Bersatu pada April 2019 ketika parti itu mengembangkan sayap di negeri ini.

Abdul Latif yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam satu program di Kuala Lumpur berkata, di Sabah, lompat parti dipanggil sebagai ‘hijrah’, justeru penghijrahan itu bermaksud UMNO sudah tidak diyakini.

“Oang sabah dia tak panggil lompat, dia kata hijrah, biasa, daripada Berjaya, USNO pergi Berjaya , Berjaya pergi PBS, PBS pergi UMNO, sekarang ini, UMNO dah tak lakulah.

“UMNO, maksud saya partilah , UMNO di Sabahlah itu realitinya kerana dah tak yakin semua orang dia dah lompat dia dah hijrah ke Bersatu,” katanya.

Sementara itu, kenyataan Abdul Latiff itu mendapat tentangan daripada pemimpin UMNO yang kini mendesak beliau meletakkan jawatan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Abdul Latiff adalah pengkhianat memandangkan beliau sendiri mewakili UMNO ketika menang di Parlimen Mersing pada 2018 tetapi melompat kepada Bersatu ketika UMNO bergolak.

“Kenyataan biadab dan angkuh seperti itu tidak harus diungkapkan oleh seorang yang sudah berstatus Menteri dalam sebuah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya UMNO sebagai rakan komponen terbesarnya.

“Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera UMNO di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing.

“Justeru, demi maruah UMNO dan mengekalkan keharmonian dan penghormatan parti-parti yang berkerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional, Pemuda UMNO bertegas agar Abdul Latiff segera meletakkan jawatan selaku menteri Kabinet,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3752