Lebih 100 Penduduk Kampung Pasir Putih Terjejas Akibat Banjir

TAWAU : Lebih 100 penduduk di Blok A dan B Kampung Pasir Putih terjejas selepas dilanda banjir kilat akibat air sungai berhampiran melimpah kira-kira jam 7 malam, kelmarin.

Fenomena air pasang dan hujan lebat hampir 18 jam menyebabkan beberapa lokasi di daerah ini dilanda banjir dan ada di antara kediaman penduduk dimasuki air.

Seorang penduduk Ajib Hanafiah, 28, berkata, mereka sekeluarga sudah bersedia sejak dari awal lagi selepas hujan turun tidak berhenti dalam jangka masa yang panjang.

“Paras air sungai mula naik dan deras sejak malam tadi menyebabkan kami bertindak memindahkan barang-barang perabot ke kawasan tanah tinggi berhampiran.

“Sejam kemudian, air sungai melimpah keluar dan mula memasuki kediaman dengan deras sehingga ke paras lebih satu meter,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, kira-kira satu jam lebih kemudian, hujan mula reda dan banjir juga perlahan-lahan surut sekaligus membolehkan mereka melakukan kerja-kerja pembersihan lumpur di kediaman masing-masing.

Selain Pasir Putih, beberapa jalan utama seperti Batu 6, Jalan Jambatan Putih-Merotai, Batu 1 dan Jalan Chong Thien Vun turut ditenggelami air menyebabkan berlakunya kesesakalan lalu lintas lebih dua jam memandangkan kenderaan bergerak perlahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, semua lokasi yang dilanda banjir dalam keadaan terkawal dan menunjukkan air sudah mula surut.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *