WARISAN Labuan Sokong Shafie Diangkat Jadi Perdana Menteri

Datuk Rozman Isli

LABUAN: Parti Warisan Sabah (Warisan) Labuan menyokong penuh pencalonan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

Ketua Bahagian Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, Warisan Labuan sentiasa berdiri teguh dan tidak berbelah bahagi menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia mengangkat pemimpin dari Malaysia Timur atau Borneo untuk menjadi Perdana Menteri dan menerajui negara.

“Kami yakin Mohd Shafie memang layak dan merupakan pilihan terbaik untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan menyokong pencalonan Mohd Shafie itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Labuan pada 5 Julai lalu.

Tanda sokongan itu dizahirkan susulan cadangan dikemukakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan Presiden Warisan itu sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Tun Mahathir sebelum ini dipetik berkata, cadangan itu diusulkan selepas pertemuan tidak rasmi yang diadakan antara beliau dengan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Warisan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada penghujung Jun lalu.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

940