Siasat Kenapa Jeffrey Tiba-Tiba Sokong Musa Aman Selepas PRU14

Sarifuddin Hata

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti tanah Airku (Star) Datuk Dr. Jeffrey Kitingan adalah individu pertama yang menghantar wakil berjumpa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk membentuk Kerajaan Sabah semasa keputusan pilihan raya umum 2018 diumumkan yang menyaksikan tiada sesiapa mendapat majoriti mudah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, Mohd. Shafie bagaimanapun tidak menjanjikan apa-apa habuan atau jawatan kepada Jeffrey ketika itu menyebabkan beliau tiba-tiba sahaja beralih arah menyokong Ketua Menteri sebelum ini, Tan Sri Musa Aman.

Sehubungan itu, Sarifuddin berkata, jika Jeffrey mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bagaimana Warisan boleh membentuk kerajaan, sebenarnya Jeffrey sendiri yang perlu disiasat apa sebab beliau melanggar prinsip perjuangannya sehingga menyokong Musa.

“Pada masa itu 29 kerusi berpihak kepada Warisan dan Pakatan Harapan manakala 29 lagi kepada Barisan Nasional (BN) dan beliau hantar wakil datang ke rumah Mohd. Shafie, menyatakan persetujuannya membentuk kerajaan bersama kita.

“Masa itu UPKO belum ada sepatutnya kalau betul kita ada menawarkan jawatan atau wang ringgit mestilah dia tahu tetapi setelah itu Jeffrey menyebelahi Musa yang selama ini beliau tentang dan tidak mahu bersama parti Malaya tetapi akhirnay bersama, jadi kenapa hilang prinsip Sabahan itu kerana apa, jawatan atau wang ringgit kita pun tidak tahu.

Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

“Kenapa Jeffrey tiba-tiba sokong Musa sedangkan selama ini beliau menentang Musa, buat laporan polis dan keluarkan 81 dalil kenapa tidak menyokong Musa tetapi tiba-tiba sahaja melanggar perjuangannya,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

Keputusan pilihan raya umum 2018 di Sabah mendapat tumpuan utama apabila tiada parti yang membentuk kerajaan, namun BN akhirnya berkuasa kembali selepas Jeffrey dan ADUN Bingkor, Robert Tawik menyokong Musa.

Selepas sahaja Musa mengangkat sumpah, beliau kemudiannya melantik Jeffrey sebagai Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan sehingga menimbulkan persoalan jika beliau telah dijanjikan jawatan itu untuk menyokong Musa.

Kerajaan BN itu bagaimanapun tidak bertahan lebih dua hari selepas beberapa ADUN UPKO menyatakan sokongan kepada Warisan dan PH untuk membentuk kerajaan baharu pimpinan Mohd. Shafie.

Jeffrey seperti dilaporkan sebuah portal hari ini berkata, selain menyiasat PPBM di peringkat Persekutuan, SPRM juga perlu menyiasat bagaimana Mohd. Shafie boleh menjadi Ketua Menteri ketika itu.

Sarifuddin berkata, punca utama lebih ramai wakil rakyat kini menyokong Warisan adalah demi memastikan Sabah dapat ditadbir oleh parti tempatan dan tidak lagi bergantung kepada parti Semenanjung dalam membuat keputusan bukannya kerana dijanjikan apa-apa.

Jelasnya, berbanding Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melantik Ahli Parlimen sebagai pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) di peringkat Persekutuan, di Sabah, tiada mana-mana wakil rakyat yang kini menyokong Warisan diberikan jawatan.

“Kalau Jeffrey mahu kata kita tawarkan jawatan atau wang ringgit, kenapa tiada wakil rakyat yang lompat diberikan jawatan di Sabah, kecuali ADUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho kerana untuk melengkapkan kuota manakala selebihnya tiada jawatan.

“Lain ceritanya pada Jeffrey, selepas tidak dijanjikan apa-apa oleh Mohd. Shafie, tiba-tiba beliau sokong Musa dan dilantik dua jawatan, maka persoalannya di sini siapa yang perlu disiasat ialah Jeffrey bukannya Warisan,” tambahnya.- BorneoToday

4135