Tidak Perlu Lagi Kuarantin Jika Masuk Ke Sabah

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Sabah kembali membuka pintu kepada semua rakyat Malaysia untuk datang ke negeri ini sama ada dari Semenanjung, Sarawak atau Labuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, arahan kuarantin wajib selama dua minggu yang dikenakan sebelum ini ditarik balik, namun setiap individu perlu menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum masuk ke Sabah terlebih dahulu dan disahkan negatif.

“Pada hari ini, kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan semua perjalanan memasuki ke Sabah sama ada melalui udara, darat dan laut oleh penjawat awam, pekerja sektor swasta dan warganegara Malaysia termasuklah rakyat Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengecualikan mereka menjalani kuarantin dengan syarat telah melakukan ujian COVID-19 di tempat atau negeri masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan negatif.

“Surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dikemukakan setibanya di Sabah,” katanya.

Ketua Menteri berkata, semua rakyat Malaysia yang masuk ke Sabah digalakkan menginap di hotel-hotel yang telah beroperasi sejak 10 Mei lalu.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan semua warganegara Malaysia dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan WP Labuan ke Sabah dan menginap di hotel-hotel yang telah beroperasi sejak 10 Mei 2020.

“Bagi maksud warganegara dan bukan warganegara diwajibkan untuk mengemukakan pas kerja dan pas-pas lain yang masih sah setibanya di Sabah,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7397