Wanita ‘Mabuk’ Coca Cola

Wanita berusia 74 tahun yang mempunyai ketagihan terhadap Coca Cola sejak 40 tahun lalu. Foto YouTube X SBS

Seoul: Seorang wanita warga emas berusia 74 tahun di Korea Selatan dipercayai mempunyai ketagihan melampau terhadap minuman berkarbonat Coca Cola sejak 40 tahun lalu.

The Guardian melaporkan kisah wanita unik itu pernah disiarkan menerusi saluran YouTube X SBS yang berpangkalan di Korea Selatan.

Wanita itu dilaporkan cenderung minum minuman berkarbonat bagi menghilangkan kesedihannya selepas kematian suami tercinta pada usia 34 tahun.

Ketagihannya semakin tidak dapat dibendung selepas kehilangan anak lelakinya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Wanita itu mendakwa boleh menghabiskan 10 tin dalam sehari dan secara purata, dia sudah minum 150,000 tin untuk tempoh 40 tahun bersamaan dengan 37,500 liter.

Katanya, minuman itu memberinya aura positif dan membantu melegakan dirinya setiap kali keletihan, mengantuk serta lapar.

Selepas mendengar perkongsiannya, X SBS mengesyorkan wanita itu menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik dan dia bersetuju.

Tekanan darahnya normal namun pemeriksaan lanjut mendapati perutnya mengecil dan terdapat ulser duodenal.

Menurut doktor, keadaan itu akan memberi masalah kepada wanita berkenaan dalam jangka masa panjang.

Tiada kepastian sama ada minuman berkarbonat itu menyebabkan ulser namun wanita berkenaan memberitahu X SBS yang dia akan berusaha mengurangkan pengambilannya.- Agensi

1246