KOTA MARUDU: Lelaki maut ditembak oleh birasnya apabila berlaku perselisihan faham selepas mereka mabuk di sebuah rumah di Jalan Bintasan Darat, Kota Marudu, malam kelmarin.
Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa bersama suspek dan tiga ahli keluarga sedang berkaraoke di ruang tamu sambil meminum arak.
Tiba-tiba berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek sebelum tercetus bertengkar.
Mangsa kemudian dikatakan mengambil sebilah parang manakala suspek menuju ke dapur semula sambil membawa senapang buatan sendiri jenis ginsuk.
Suspek berusia 23 tahun disyaki mabuk kemudian melepaskan tembak ke arah mangsa hingga menyebabkan parah di bahagian badannya.
Mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan menahan suspek.
Katanya, pihaknya turut merampas senapang buatan sendiri jenis ginsuk yang digunakan ketika kejadian itu.
“Mayat dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost